mama teringat beberapa bulan yg lalu mama ada terbaca kisah anak kecil istimewa ini di dalam majalah anis. berkali2 mama ingin mengingati namanya, mama masih tak ingat, watiq, wa... apa ya.... weekend semalam mama balik rumah tok, mama menyelongkar majalah dirumah tok dan Alhamdulillah mama jumpa majalah anis itu. Nama anak itu ... atiq wazif. mama teringat pada nurul afiqah, apabila mama membaca cerita tentang atiq wazif ini. mak ngah, tunggu ye, nanti mama poskan buku kembara atiq wazif ini. mama dlm proses membelinya. Anak...anugerah yang sangat istimewa. Di bawah mama sertakan coretan yg mama dapat dr web kembara wazif ini...
Mukadimah Kembara Wazif
March 15, 2008 by kembarawazif
Dengan kata awal Bismillah, saya mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana diberikan kesempatan untuk mencoretkan karya Kembara Atiq Wazif – Satu Anugerah. Inisiatif ini terhasil dari kesedaran bahawa pengalaman hidup tidak akan diperolehi sekiranya kita tidak menempuhi belukar yang beronak dan berduri.
Bila menghadapi ujian dikurniakan anak istimewa, ramai yang cuba lari dari masalah dengan ‘menyembunyikan’ anak mereka…. ini menipu diri sendiri! Tidak seharusnya kita malu memberitahu ada anak istimewa. Ramai orang akan membantu dari segala segi yang mereka mampu.
Berdasarkan pengalaman saya sendiri, terlalu banyak bantuan yang saya terima dari masyarakat sekeliling. Bukan sahaja bantuan material bahkan juga doa, kata-kata semangat, rangsangan, tunjuk ajar, nasihat, dan amalan yang serba berguna. Bantuan yang saya terima bukan hanya dari kalangan adik-beradik, jiran tetangga, dan sahabat-handai malahan dari seluruh pelusuk dunia termasuk dari Portugal, Texas, Washington DC, North Carolina, Kryzystan, dan Negeri China. Pertolongan yang saya terima juga datangnya dari pelbagai lapisan masyarakat dan kaum; yang kaya, yang sederhana, dan dari mereka yang berlainan agama dan keturunan.
Dalam menjalani kehidupan membesarkan anak istimewa seperti Wazif juga, saya menghadapi dan menyelesaikan beberapa insiden yang mendebarkan dan mencemaskan. Pengalaman ini terlalu berharga dan bermakna, maka sewajarnyalah ianya dikongsi dengan seberapa ramai pembaca. Kerana kita semua akan jadi ibu, bapa, dan ahli masyarakat yang bertanggungjawab membentuk nilai-nilai murni di sanubari anak bangsa.
Memang semua orang tidak mahu sakit. Semua orang tidak mahu ke hospital kecuali agaknya para doktor dan kakitangan hospital. Mereka ke hospital kerana mereka dapat bayaran. Yang lain pergi ke hospital kena buat bayaran. Sepanjang menelusuri kembara Wazif, saya telah terdedah dengan prosedur dan proses perjalanan sistem hospital di dalam dan luar negara. Pengalaman ini diharap dapat memberikan panduan kepada pembaca, khususnya yang mempunyai anak istimewa, untuk memperolehi manfaat yang maksimum dalam mendapatkan rawatan yang sewajarnya di hospital untuk anak mereka.
Dalam pada itu, sebagai ibu bapa kita wajib tahu dengan mendalam proses dan tahap perkembangan anak-anak kita. Kita perlu tahu setiap milestone perkembangan anak kita supaya kita boleh bertindak jika anak tidak menunjukkan perkembangan sewajarnya. Kita perlu mengenali dan menjiwai karakter setiap anak kita agar dapat membentuk mereka menjadi cemerlang. Berkesempatan membesarkan Wazif memberikan peluang kepada saya dan isteri untuk lebih mempelajari bagaimana membentuk anak-anak menjadi berjaya.
Apakah asas untuk menjadikan anak kita cemerlang? Adakah dengan berbelanja besar menghantar anak kita ke pusat-pusat tuisyen akan menjanjikan anak kita cemerlang? Bangunan yang tinggi memerlukan landasan yang kukuh supaya tidak runtuh dipukul ribut. Apakah landasan yang kita perlu sediakan untuk menjadikan anak kita cemerlang? Bilakah waktunya untuk menyediakan landasan itu? Kita juga mahu anak-anak kita kukuh jatidiri dan mantap peribadi. Banyak kejadian lumrah yang berlaku yang dimuatkan dalam buku ini yang dapat dikongsi bersama untuk dijadikan panduan.
Perjalanan merentasi benua dalam usaha membesarkan anak istimewa dipenuhi dengan detik-detik yang kritikal dan mencabar. Kami menempuh banyak kepayahan dan kesusahan. Namun akhirnya ianya menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan membahagiakan. Kami belajar sesuatu yang baru setiap hari. Kami lebih menghargai anak-anak yang lain. Kami juga lebih menghargai anak orang lain.
Anak istimewa mungkin dilihat sebagai satu beban, namun dari pengalaman kami, banyak hikmah yang diperolehi hingga ia benar-benar dirasakan sebagai satu anugerah! Apakah pernah kita terfikir bahawa anak berumur 8 tahun kepalanya masih berbau wangi macam bayi?
Buku ini juga menyorot kisah kehidupan berumah tangga. Saya menemui rahsia untuk merasai saat manis bulan madu dalam kehidupan setiap hari. Dalam berkongsi pahit getir membesarkan Wazif bersama isteri, saya banyak belajar dari kesilapan dan kealpaan. Sesungguhnya cinta dan kasih sayang perlu disemai, dibaja dan dibentuk. Suami dan isteri perlu komited untuk sama-sama menyemai unsur-unsur ini. Bertepuk sebelah tangan tidak memadai. Dan tidak cukup hanya dengan taburan wang ringgit untuk cinta bersemi.
Mengejar kebendaan tak pernah ada penghujungnya. Memenuhi kehendak Allah SWT memberikan kepuasan dan kebahagiaan yang total.
Kini saya akur, harta bukan sahaja dalam bentuk kebendaan atau wang ringgit. Anak-anak, isteri, dan pengalaman hidup juga adalah harta.Mungkin lebih berharga dari harta kebendaan. Yang penting, apakah harta yang kita miliki itu membawa kebahagiaan kepada kita!
Pernahkah kita semua terfikir bahawa menyaksikan seorang anak kecil mula pandai menggaru kepalanya yang gatal adalah lebih menyeronokkan dari menandatangani kontrak perniagaan bernilai jutaan ringgit? Pernahkah kita terfikir, menyaksikan anak kecil yang mula boleh menghisap minuman menggunakan straw adalah lebih membahagiakan dari melihat bola golf masuk ke lubang hasil pukulan ‘hole-in-one’?
Kembara Atiq Wazif – Satu Anugerah juga membongkar rahsia sebenar kehidupan. Paling minimum lima kali sehari, kalimah Allahuakbar yang membawa maksud ‘Allah itu maha besar’ membuka tirai solat kita. Apakah ada hikmah di sebalik ini? Di awal bicara Fatihah, kalimah Bismillah dibaca. Ar-Rahman, Allah itu maha pemurah. Kemudiannya Ar-Rahim, Allah itu maha mengasihani. Maka sebenarnya dalam kita mencari arah tuju dan panduan kehidupan, kita harus sedar bahawa kita dikelilingi oleh rahsia kebesaran, rahsia dikasihi, dan rahsia disayangi.
Justeru apa jua bentuk dugaan dan cabaran, kita harus terima dengan hati yang terbuka. Kita harus sentiasa bersyukur dan menganggap apa jua yang mendatang adalah satu ANUGERAH. Kita harus belajar untuk menghargai dan berbahagia dengan apa saja yang kita ada walau sekecil mana. Bila kita bersyukur dengan apa yang ada, bukannya irihati dengan apa yang orang lain ada, kita akan dapat lebih banyak lagi kenikmatan dan kesenangan.
Selamat membaca.
6 comments:
i'm touched..maybe someday, k ina pun bley do the same.. tell your story..
yes. akak pun sama bila baca cerita dlm majalah tu. very touching story. sebab tu akak asyik teringat. pergi mana2 kedai buku mmg akak cari buku kembara tu, tp tak jumpa2. tak sabar akak nak tunggu buku tu sampai. akak dah beli thru pos. akak rasa byk tips berguna bukan shj utk yg mempunyai anak istimewa, utk semua.
Thank you kak alhan for this entri. uh mmg touching. Tak sabar nak tunggu buku dia. Ina pi kat blog dia, mmg menarik nak tahu kisah dia lagi. Ema, akak dah cerita apa my story, kat blog tu. Tapi nak tulis buku mcm tak mampu je nak karang ayat2 yg tersusun. Tgk bahasa akak kat blog tu pun tonggang langgang. Hehehe.
wani dh baca buku ni.beli kt giant dulu,kn ada jual buku2 kt area tangga tu,tp baru2 ni pergi,dh xde plak pakcik jual buku tu.mmg mengaliq air mata baca buku tu.kagum dgn family atiq,sgt2 supportive,sampai sanggup ke sana sini demi atiq dan betapa cekalnya atiq sendiri..saat atiq leh jalan sendiri,seronoknya mereka..yg bagusnya,kt blkg buku tu,ada diselitkn info2 berguna buat semua..
eh bila wani beli. awat tak habaq? tak nampak pun kat rumah mak? tak pa akak pun br beli. tak sampai lg ni.
lama dh beli,b4 kenduri abg lagi,siap hadiahkn kt abg masa kenduri dia,hehe.ada tersorok kat rak buku di bilik atas:)
Post a Comment